Taman Buaya Sandakan

Taman Buaya Sandakan (Sandakan Crocodile Farm) merupakan salah satu tempat menarik di Sabah. Taman ini terletak di Batu 8 Jalan Labuk, iaitu lebih kurang 13 km dari Pusat Bandar Sandakan.

TAMAN BUAYA SANDAKAN







Taman Buaya Sandakan merupakan salah satu tempat menarik di Sandakan yang boleh dikunjungi oleh penduduk tempatan atau pelancong dari dalam dan luar negara yang datang melancong ke Negeri Sabah terutamanya ke daerah Sandakan. Taman Buaya Sandakan ini terletak di Batu 8, Jalan Labuk iaitu lebih kurang 13 km atau kira-kira 20 minit perjalanan menaiki kereta dari Pusat Bandar Sandakan dan taman ini menempatkan pelbagai jenis buaya termasuklah buaya tembaga. Taman buaya ini merupakan taman buaya yang terbesar di Malaysia yang mana dianggarkan terdapat lebih kurang 3000 ekor buaya yang ditempatkan di taman ini. Biasanya taman ini dipenuhi dengan orang ramai ketika musim cuti sekolah atau cuti dihujung minggu yang datang ke sini untuk melihat buaya dan beberapa lagi haiwan lain.

Taman Buaya Sandakan ini juga merupakan sebuah pusat pemeliharaan dan pemuliharaan buaya yang berlesen di Negeri Sabah yang mana akibat daripada penjualan buaya termasuk anak-anak buaya secara meluas sekitar tahun 1970an dahulu untuk mendapatkan kulit buaya yang sangat berharga, maka pada tahun 1982 Kerajaan Negeri Sabah telah mengharamkan pembunuhan reptilia ini dengan sesuka hati tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa. Oleh itu buaya yang ditangkap biasanya akan ditempatkan di taman ini dan juga di Taman Buaya Tuaran. Di sini pengunjung berpeluang untuk melihat buaya-buaya tersebut dengan lebih dekat dengan saiz yang berbeza dan sudah semestinya buaya yang paling besar di sini adalah dari spesis buaya tembaga.


Selain buaya, di taman ini juga pengunjung boleh melihat beberapa jenis haiwan lain yang diperlihara serta dijaga dengan baik dan antara haiwan lain yang terdpaat di sini adalah seperti ikan tropika, burung merak, monyet, memerang, kura-kura dan lain-lain lagi. Tetapi haiwan-haiwan ini tidak terlalu banyak di sini, cuma beberapa ekor sahaja setiap jenis haiwan tersebut. Anda juga boleh membeli makanan ikan di taman ni untuk anda memberikan makan kepada ikan-ikan tersebut, tetapi jangan beri makanan yang dibeli luar sebab ianya tidak dibenarkan. Haiwan lain yang mungkin boleh anda memberikan makanan adalah seperti monyet dengan memberikannya pisang. Anda juga adalah tidak dibenarkan sesuka hati memberi makanan kepada buaya yang ada di sini atas faktor keselamatan

Di sini terdapat juga beberapa kemudahan yang telah disediakan untuk memberikan kemudahan atau keselesaan kepada para pengunjung yang datang ke sini iaitu seperti tandas, laluan berjalan kaki yang mempunyai atap agar pengunjung tidak kena panas, kawasan untuk bergambar (photo corner area) yang telah disediakan untuk pengunjung sekiranya ingin mengambil gambar bersama replika buaya (patung buaya). Kemudahan lain adalah tempat duduk yang beratap agar pengunjung dapat duduk sambil aksi pesembahan buaya yang akan dilakukan oleh pekerja taman buaya ini. Cuma semasa persembahan itu dijalankan pengunjung dinasihatkan agar tidak membuat bising seperti berteriak agar tidak mengganggu buaya tersebut dengan bunyi bising. Secara ringkasnya, antara beberapa kemudahan yang ada terdapat di taman ini ialah seperti berikut :

Kemudahan :

01. Laluan jalan kaki
02. Kawasan bergambar
03. Tandas
04. Pondok
05. Tempat duduk
06. Makanan ikan
07. Tempat letak kereta

Anda juga mungkin boleh membawa beberapa barang yang perlu sekiranya ingin datang ke sini agar lawatan anda ke Taman Buaya ini menjadi lebih menarik dan tidak bosan. Antara barang yang mungkin anda boleh bawa ke sini ialah seperti :

Barang di bawa :

01. Kamera/vide kamera
02. Cermin mata hitam
03. Payung/topi
04. Minuman
05. Makanan ringan
06. Duit (beli tiket)

Pengunjung atau pelancong yang ingin ke Taman Buaya Sandakan boleh menaiki kereta sendiri, atau kalau tidak ada kereta sendiri boleh juga menyewa kenderaan (yang penting anda ada lesen memandu). Pilihan lain adalah dengan menaiki perkhidmatan teksi atau perkhidmatan e-hailing yang lain. Sekiraya mahu berjimat, boleh juga menaiki bas dari terminal bas bandar Sandakan (bas mini atau van berwarna putih bertaris oren) dan ada ditulis laluan bas tu menuju, contohnya ada tulis batu 8, batu 12, batu 14, batu 16 dan batu 32. Bas-bas ini biasanya akan lalu jalan utama yang berhadapan dengan taman buaya ini yang terletak di tepi jalan utama yang penting sekiranya anda naik bas pastikan memberitahu pemandu bas untuk turunkan anda di Taman Buaya Sandakan.

Waktu operasi :
Setiap hari : 8.00 pagi - 5.00 petang.


Waktu persembahan :
Setiap hari : 11.45 pagi dan 4.00 petang.
(sebaiknya datang pada waktu ini untuk melihat persembahan dari pekerja taman ini seperti memberus gigi buaya, menari bersama buaya dan lain-lain lagi)

Bayaran masuk :
Dewasa : RM12.00
Kanak-kanak : RM6.00

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lebih lanjut bolehlah menghubungi pihak pengurusan Taman Buaya Sandakan seperti alamat di bawah ini :

Alamat :
Taman Buaya Sandakan
Batu 8, Jalan Labuk,
90000, Sandakan,
Sabah, Malaysia.
Telefon : 089-660 666

Nota :
Sila pastikan anda ikut semua peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan taman ini untuk kebaikan dan keselamatan anda dan anak-anak anda ketika berkunjung ke sini.

Lihat tempat menarik di Sabah klik sini
Lihat ruangan iklan klik sini

  
  

<< Back

Ulasan