Tarian Lansaran

Tarian Lansaran merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian ini merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Murut di negeri Sabah terutamanya yang tinggal di daerah Tenom.

TARIAN LANSARAN



Tarian Lansaran adalah salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian ini juga adalah tarian tradisional bagi suku kaum Murut di Sabah terutamanya yang tinggal di daerah Tenom yang merupakan daerah yang mempunyai majoriti penduduk dari suku kaum Murut. Tarian ini biasanya ditarikan di lantai yang mempunyai ukuran lebih kurang 81 kaki persegi dan akan dibina di tengah-tengah rumah panjang suku kaum Murut. Lansaran dikatakan berasal dari perkataan Lumansar yang bermaksud melambung.

Kawasan lantai untuk menarikan tarian ini biasanya akan diperbuat daripada kayu khas yang berbentuk bulat dan di pasang sehingga beberapa lapisan agar ketika penari yang akan membuat tarian diatas kayu tersebut dapat melantun ke atas seperti melambung sekaligus dapat mengeluarkan rentak bunyi yang agak kuat. 
Ketika hendak menarikan tarian ini, penari akan membuat satu bulatan sambil melompat di atas lantai lansaran tersebut dan bagi penari lelaki pula mereka akan cuba melompat ke atas setinggi yang boleh untuk mencapai 'Kinkilat' atau hadiah yang digantung dibahagian atas sambil bersorak.


Penari tarian ini terdiri daripada penari lelaki dan wanita. Penari wanita akan memakai pakai tradisi suku kaum mereka yang berwarna hitam dengan hiasan manik-manik yang berwarna warni. Penari lelaki juga akan memakai pakaian traidisi mereka yang diperbuat daripada kulit kayu dan kain berwarna dengan hiasan di kepala yang diperbuat daripada bulu burung.


Tarian ini tidak perlukan sebarang alat muzik iringan kerana apabila penari-penari melompat di atas kayu lantai lansaran yang disusun beberapa lapisan sambil memakai kekaling, ianya menghasilkan satu rentak muzik untuk tarian tersebut. 
Di penghujung tarian ini, penari-penari akan berbalas pantun sesama mereka dan berbalas pantung ini adalah bertujuan agar dapat mengeratkan lagi hubungan diantara mereka semua. 

Pada masa dahulu tarian ini biasanya dipersembahkan bagi menyambut kepulangan pahlawan mereka yang menang mengalahkan musuh mereka. Kini tarian ini dipersembahkan dengan tujuan untuk majlis keramaian, kesyukuran dan juga ketika pindah ke rumah baru.

Tarian Lansaran merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah yang unik dan dapat menarik perhatian kepada pelancong dari dalam dan luar negara untuk cuba bersama-sama penari tempatan menarikan tarian ini.

Lihat tempat menarik di Sabah klik sini
Lihat ruangan iklan klik sini

  
  

Ulasan