Tarian Magunatip

Tarian Magunatip merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian ini adalah tarian tradisional bagi suku kaum Murut di Sabah terutamanya mereka yang tinggal di daerah Tenom.

TARIAN MAGUNATIP



Tarian Magunatip atau juga lebih dikenali sebagi tarian bambu merupakan tarian tradisional bagi suku kaum Murut yang tinggal di Bahagian Pedalaman Negeri Sabah seperti di Tenom, Pensiangan dan Keningau. Magunatip adalah perkataan yang diambil daripada kata 'Atip' yang membawa maksud jepit atau apit. Tarian ini mengikut tradisi pada masa dahulu biasanya dipersembahkan sebagai tarian tanda kemenangan etnik apabila berjaya menewaskan musuh mereka dalam peperangan.

Penari tarian ini mestilah yang mempunyai kemahiran dan ketangkasan untuk menari melintasi beberapa batang buluh bambu yang mana bambu tersebut akan dipukul secara serentak bagi menghasilkan bunyi dan irama untuk tarian tersebut. Tarian ini ditarikan oleh lelaki dan wanita, yang mana penari lelaki akan masuk terlebih dahulu dengan persembahkan rentak tarian Mahihialang kemudian mereka akan di apit oleh penari wanita yang akan persembahkan rentak tarian Anggalang. 


Penari lelaki memakai pakaian tradisi etnik mereka yang mana akan pakaian tersebut menggambarkan sebagai seorang pahlawan iaitu jaket yang diperbuat daripada kulit kayu sambil memegang dan menghayun senjata yang disebut gayang. Penari wanita pula akan memakai pakaian atau busana tradisi mereka yang disebut limpur dan dihiasi dengan manik-manik.

Pada asalnya tarian ini hanya menggunakan buluh yang di pukul atau ketuk untuk menghasilkan muzik serta iramanya dan tidak memerlukan sebarang alat muzik iringan yang lain ketika dipersembahkan. Namun begitu ada juga sesetengah tempat atau daerah yang mengadakan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan akan menarikan tarian ini sambil diiringi dengan alat muzik lain seperti gong dan tambor.

Tarian ini juga biasanya ditarikan ketika majlis-majlis tertentu seperti keramain dan ketika persembahan kebudayaan, perkahwinan dan lain-lain lagi. Selain itu tarian ini juga ada dipersembahkan di beberapa Perkampungan Budaya sekitar negeri Sabah agar ianya dapat memperkenalkan lagi tarian kebudayaan sabah ini kepada pelancong terutamanya pelancong dari luar negara sekaligus dapat menarik perhatian mereka untuk mempelajari budaya masyarakat Sabah.

Lihat tempat menarik di Sabah klik sini
Lihat ruangan iklan klik sini

  
  

Ulasan

Catat Ulasan